Wednesday, 19 August 2015

Manusia Sebagai Khalifah

Manusia Sebagai Khalifah

Khalifah adalah satu keistimewaan besar yang hanya diberikan kepada manusia dan tidak kepada  malaikat, jauh sekali untuk diberikan kepada jin. Daripada itu dapat diyakini bukan setiap hamba itu layak dan berhak menjadi hamba Allah. Seterusnya juga bukan setiap manusia yang pada hakikatnya hamba itu dengan sendirinya adalah khalifah. Walaupun hakikatnya manusia itu hamba dan khalifah Allah, namun dari segi konsep dan perlaksanaannya adalah tidak. Oleh kerana itu, manusia yang layak dan berhak menjadi khalifah itu adalah manusia yang melaksanakan konsep kehambaan diri kepada Allah dan melaksanakan konsep penyerahan diri kepada Allah. Firman Allah S.W.T. :

Maksudnya :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.

( Surah 
al-zariyat : 56 ) 

Dalam ayat di atas, Allah secara jelas menerangkan tujuan penciptaan jin dan manusia, iaitu untuk menyembah-Nya. Tidak boleh dipersoalkan lagi. Mengikut Ibn Abas r.a., tidak diciptakan mereka (jin dan manusia) itu, kecuali untuk tunduk (patuh) beribadah kepada Allah secara sukarela atau terpaksa.Dalam tafsir Ibn Katsir juga menerangkan sedemikian dan ditambah, manusia disuruh beribadah kepada-Nya dan bukan kerana Aku (Allah yang Maha Tinggi) memerlukan mereka (manusia).
“Sesungguhnya Tuhan menjadikan ibadah sebagai hikmah kepada kejadian manusia tetapi ibadah itu bukan bermakna memisahkan manusia dari bekerja atau menyisih diri dari hal-hal keduniaan, yang tidak sesuai dengan risalah Tuhan yang menghendaki manusia memakmurkan muka bumi dan menyebarkan hukum-hukum Tuhan serta peraturannya selaras dengan kehendak syariat, bahkan manusia itu sendiri bertanggungjawab mempelajari hukum Allah, sebelum mempelajari sesuatu yang lain.”

Demikian juga manusia hendaklah memahami bahawa Allah tidak meredhai hamba-Nya yang bersikap menjauhi kemewahan keduniaan dengan mengurung diri mereka di dalam rumah-rumah ibadat dan masjid semata-mata untuk tujuan beribadat dan bermunajat di mana-mana sahaja ; di kebun, di tempat-tempat perniagaan, dalam masyarakat atau di mana sahaja kerana semua munajat itu dapat di dengar oleh Allah dan dengan cara itu juga manusia boleh mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.
Hubungan manusia dengan Allah adalah berasaskan satu perjanjian atau kesanggupan yang azali. Manusia telah mengakui ketuhanan Allah serta menyatakan kesanggupan untuk mengabdikan diri semata-mata kepadaNya. Perjanjian ini dibuat semasa manusia itu masih berada di alam roh lagi. Hal ini diceritakan oleh Al-Quran sebagaimana Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

(Surah 
al-A'raf : 172)

Hidup ini indah seandainya diserikan dengan ibadah-ibadah yang menghasilkan pahala demi mendapatkan keredhaan Allah. Pahala di situ membawa maksud balasan atau ganjaran dari Tuhan kerana berbuat baik dan akan dinilaikan di akhirat nanti. Orang yang berbuat kebajikan dan menunaikan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya akan diberi pahala oleh Allah. Tempat mereka menikmati kebahagiaan di syurga hasil amalan soleh yang dilakukan.



No comments:

Post a Comment