Manusia Sebagai
Khalifah
Khalifah adalah
satu keistimewaan besar yang hanya diberikan kepada manusia dan tidak
kepada malaikat, jauh sekali untuk diberikan kepada jin. Daripada itu
dapat diyakini bukan setiap hamba itu layak dan berhak menjadi hamba Allah.
Seterusnya juga bukan setiap manusia yang pada hakikatnya hamba itu dengan
sendirinya adalah khalifah. Walaupun hakikatnya manusia itu hamba dan khalifah
Allah, namun dari segi konsep dan perlaksanaannya adalah tidak. Oleh kerana
itu, manusia yang layak dan berhak menjadi khalifah itu adalah manusia yang
melaksanakan konsep kehambaan diri kepada Allah dan melaksanakan konsep
penyerahan diri kepada Allah. Firman Allah S.W.T. :
Maksudnya :
Dan (ingatlah) Aku
tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan
beribadat kepada-Ku.
Dalam ayat di atas,
Allah secara jelas menerangkan tujuan penciptaan jin dan manusia, iaitu untuk
menyembah-Nya. Tidak boleh dipersoalkan lagi. Mengikut Ibn Abas r.a., tidak
diciptakan mereka (jin dan manusia) itu, kecuali untuk tunduk (patuh) beribadah
kepada Allah secara sukarela atau terpaksa.Dalam tafsir Ibn Katsir juga
menerangkan sedemikian dan ditambah, manusia disuruh beribadah kepada-Nya dan
bukan kerana Aku (Allah yang Maha Tinggi) memerlukan mereka (manusia).
“Sesungguhnya Tuhan
menjadikan ibadah sebagai hikmah kepada kejadian manusia tetapi ibadah itu
bukan bermakna memisahkan manusia dari bekerja atau menyisih diri dari hal-hal
keduniaan, yang tidak sesuai dengan risalah Tuhan yang menghendaki manusia
memakmurkan muka bumi dan menyebarkan hukum-hukum Tuhan serta peraturannya
selaras dengan kehendak syariat, bahkan manusia itu sendiri bertanggungjawab
mempelajari hukum Allah, sebelum mempelajari sesuatu yang lain.”
Demikian juga
manusia hendaklah memahami bahawa Allah tidak meredhai hamba-Nya yang bersikap
menjauhi kemewahan keduniaan dengan mengurung diri mereka di dalam rumah-rumah
ibadat dan masjid semata-mata untuk tujuan beribadat dan bermunajat di
mana-mana sahaja ; di kebun, di tempat-tempat perniagaan, dalam masyarakat atau
di mana sahaja kerana semua munajat itu dapat di dengar oleh Allah dan dengan
cara itu juga manusia boleh mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.
Hubungan manusia
dengan Allah adalah berasaskan satu perjanjian atau kesanggupan yang azali.
Manusia telah mengakui ketuhanan Allah serta menyatakan kesanggupan untuk
mengabdikan diri semata-mata kepadaNya. Perjanjian ini dibuat semasa manusia
itu masih berada di alam roh lagi. Hal ini diceritakan oleh Al-Quran
sebagaimana Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
Dan (ingatlah wahai
Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun)
dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka
sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan
kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami
menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak:
"Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat
tauhid) ini".
Hidup ini indah
seandainya diserikan dengan ibadah-ibadah yang menghasilkan pahala demi
mendapatkan keredhaan Allah. Pahala di situ membawa maksud balasan atau
ganjaran dari Tuhan kerana berbuat baik dan akan dinilaikan di akhirat nanti.
Orang yang berbuat kebajikan dan menunaikan perintah Allah serta meninggalkan
larangan-Nya akan diberi pahala oleh Allah. Tempat mereka menikmati kebahagiaan
di syurga hasil amalan soleh yang dilakukan.